Thursday, September 9, 2021

Kesan Pencemaran

Pencemaran alam sekitar telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Di antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran alam sekitar ialah terhadap udara, suhu persekitaran dan lain-lain. Pencemaran pada hari ini semakin berterusan dari semasa ke semasa. Sememangnya pencemaran alam sekitar memberi kesan buruk.

Pencemaran udara memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara iaitu Nekrosis(Keguguran daun), Klorosis (Pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudah mengalami kerosakan dengan bahan cemar sulfur dioksida. Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon di udara. Keadaan ini menyebabkan bumi kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk di bumi juga terganggu.

Seterusnya, bahan cemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Haiwan – haiwan akan kehilangan habitat kerana bahan tercemar telah memusnahkan tempat tinggal mereka .Maka,haiwan –  haiwan terbunuh dan spesis-spesis yang istimewa juga akan menghadapi kepupusan. Bahan-bahan tercemar seperti sulfur dioksida yang terlepas ke udara oleh kenderaan akan menyebabkan penghadaman makanan haiwan terjejas. Hal ini menyebabkan haiwan-haiwan kehilangan nyawa kerana bahan – bahan toksid di udara ini telah diserap ke dalam tubuh badan haiwan tersebut. Sebagai contohnya, gajah,harimau,kuda-kuda,singa dan sebagainya.

Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.

Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Hal ini berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat- tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Hal ini membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air.Hal ini juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.

Selain itu,kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida yang terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat , persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal.Sebagai contohnya,kegiatan tsunami yang berlaku di Indonesia telah banyak mengorbankan nyawa manusia dan harta benda. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.

Pencemaran bunyi terhadap dunia pada masa kini termasuklah menggangu persekitaran dengan keadaan bunyi yang bising sehingga tahap yang melampau. Pencemaran bunyi akan menyebabkan keadaan persekitaran sangat bising dan menjadikan kehidupan manusia serta kehidupan lain terganggu. Haiwan juga berasa takut dan ingin berhijrah ke habitat baru yang lebih senyap dan nyaman. Hal ini akan menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem.

Pencemaran bunyi menyebabkan kerosakan pada telinga manusia secara serta-merta dan juga secara kronik. Sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripada 120 dB, selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan tulang kecil pada telinga dan ini menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, ia akan merosakkan koklia dan menyebabkan pendengran menjadi tidak berkualiti dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara perlahan-lahan

Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar memang memberi kesan buruk kepada seluruh alam sekitar di bumi ini. Saya berharap pihak berwajib dapat memantau supaya pencemaran ini dapat dikurangkan supaya kehidupan di bumi ini lebih selesa.

Kesan-kesan Pencemaran  Tanah dan Air

Pencemaran tanah bermaksud perbuatan atau bencana semula jadi yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga kawasan tersebut telah bertukar warna , tidak subur atau berlakunya hakisan. Ia boleh di bahagikan kepada dua jenis iaitu dalam bentuk cecair atau pepejal. Kebanyakan bahan pencemar ini adalah terdiri daripada organik atau kimia. Tahap pecemaran adalah serius apabila sesuatu kawasan tanah telah bertukar warna , tidak subur serta tumbuh-tumbuhan dikawasan tersebut menjadi layu. Kebanyakkan tanah yang tercemar adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia itu sendiri.  Sebagai contoh ialah perlombongan, penebangan hutan yang memyebabkan aliran tanah dari darat ke laut, pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan kumbahan yang tidak terkawal,dan tumpahan minyak dan pembuangan sisa nuklear ke dalam laut.

 Sampah-sarap yang dibuang di kawasan-kawasan lapang akan
menjadi tempat pembiakan kuman penyakit. Tikus, lipas, lalat dan haiwan-haiwan perosak yang lain akan tertumpu di kawasan tersebut dan menyebarkan kuman-kuman ke tempat-tempat lain. Makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas ,jika dimakan oleh manusia akan menyebabkan keracunan makanan dan seterusnya diserang penyakit yang serius. Sekiranya serius, akan membawa kematian kepada manusia atau munculnya penyakit baru yang bahaya seperti H1N1 dan SARS yang mudah berjangkit.

Satu lagi kesan pencemaran tanah ini adalah hakisan. Hakisan tanah adalah salah satu fenomena yang sangat sering berlaku di seluruh dunia. Ia bukan sahaja merugikan dari sudut kewangan dan ekonomi bahkan juga mengancam keselamatan dan nyawa manusia, misalnya tanah runtuh dan juga gempa bumi. Terdapat banyak negara-negara yang sedang diancam hakisan tanah. Contohnya negara Jepun yang sering berlaku gempa bumi akibatnya ramai manusia kehilangan harta benda.. Antara aktiviti-aktiviti manusia yang boleh menyebabkan hakisan adalah pembersihan dan pembajakan serum bukit yang menyebabkan tiada tumbuhan yang dapat menahan tanah daripada dialirkan bersama-sama dengan air apabila hujan lebat. Selain itu, pembinaan rumah-rumah di tengah bukit juga akan menyebabkan tanah runtuh apabila berlaku hujan kilat. Nyawa manusia yang tinggal di tengah-tengah bukit dan di kaki bukit akan tergugat.

Kesan daripada pencemaran tanah ini kepada dunia sangat ketara seperti pencemaran-pencemaran lain juga. Ianya juga memberi kesan yang cukup buruk terhadap kesihatan manusia dan hidupan-hidupan lain. Pembuangan sampah-sarap, sisa toksik dan nulear akan menjadikan kawasan tanah beracun dan tidak sesuai untuk didiami oleh manusia dan haiwan. Contoh letupan loji nuklear di Chernobyl, Russia. Kesannya dapat dirasai sehingga ke Sweden, kerana 23 orang telah dilaporkan mati akibat daripada kesan radioaktif nuklear tersebut. Semua penduduk di sekitar tersebut telah dipindahkan ke tempat lain.

Pencemaran air  berlaku apabila terdapat perubahan dari segi kandungan, keadaan, warna dan kualiti sehingga tidak sesuai untuk diguna dan akan memberi kesan kepada para pengguna apabila menggunakan air tersebut. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia, dan fizikal. Pencemaran air bukan hanya berlaku di sungai sahaja,tetapi juga di laut,pantai, tasik kolam dan sebagainya sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Punca utama yang mengakibatkan pencemaran ini adalah daripada bahan pencemar dari kilang-kilang yang berdekatan. Keadaan atau tahap pencemaran sumber air boleh dinilai berdasarkan beberapa faktor yang mempengaruhi kualiti air tersebut iaitu oksigen terlarut, keperluan oksigen biokimia (BOD), zat terlarut dalam air, pH, dan suhu. Secara saintifik, pencemaran air boleh diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu pencemaran fizikal, kimia, fisiologis dan biologi. Pencemaran fizikal ini ditentukan oleh perubahan warna, suhu dan kekeruhan sumber air tersebut. Punca yang biasanya menyebabkan pencemaran jenis ini ialah seperti pembuangan sampah. Manakala pencemaran kimia biasanya disebabkan oleh zat organiktermasuk protein, karbohidrat, lemak dan bahan buangan industri yangmengandungi garam beracun serta tumpahan minyak di laut.

Kesan-kesan daripada pencemaran air ini menimbulkan pelbagai masalah kepada hidupan-hidupan di  dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri. Bahan-bahan yang dibuang ke dalam sungai akan menyebabkan hidupan akuatik tersebut mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan hidupan air tersebut. Selain itu, manusia akan mendapat penyakit jika terminum air yang penuh bahan-bahan cemar seperti lumpur, pasir dan batu halus, karat besi, bahan buangan industri, logam berat, racun rumpai, bakteria, virus, dan haloform.

Pencemaran air juga menjadi masalah yang amat serius di negara dunia ketiga iaitu jutaan manusia mendapatkan air minuman dari kawasan yang dicemari dengan bahan buangan manusia sendiri. Pencemaran sebegini dikatakan menyebabkan lebih tiga juta kematian setiap tahun kerana cirit-birit, kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak.

Selain itu pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Banjir-banjir yang kerap berlaku disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut. Disebabkan oleh pembuangan sampah-sarap ke dalam sungai yang menyebabkan sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut. Selain daripada itu air juga menjejaskan keindahan alam. Pantai-pantai yang dipenuhi dengan sampah-sarap dan air yang kotor menjengkelkan dan tidak indah untuk dipandang akibat daripada pembuangan sampah-sarap ke lautan. Sesetengah kilang akan memperuntukkan kawasan untuk pembuangan sisa-sisa kilang. Tetapi, apabila berlaku hujan lebat atau loji pecah, sisa-sisa ini akan terkeluar dan menyebabkan dua masalah iaitu, pertama ialah jika sisa ini mengalir di permukaan, maka ianya akan mengalir di dalam sistem saliran terutamanya parit dan sungai. Masalah kedua pula ialah sekiranya sisa ini mengalir ke dalam sistem bawah tanah yang akan menyebabkan sistem air bawah tanah tercemar.

Kesimpulanya pelbagai langkah yang berkesan  haruslah di ambil untuk mengatasi masalah-masalah pencemaran daripada berleluasa. Barulah generasi yang akan datang mempunyai persekitaran yang baik dan bebas daripada pelbagai pencemaran.




No comments:

Post a Comment

2023-04-08 Sabtu KARANGAN TAHUN 4

Unit 2: J: Karangan R1 Pada __________, gotong-royong membina taman poker diadakan di __________. Saya dan 😀 menyertai program itu. R2     ...